Friday, December 10, 2010

Bamboo Shoots - Rebung Madu

Buluh Madu (Gigantochloa albociliata)
sesuai dijadikan produk kraftangan, perabot, chop-stick, pencungkil gigi atau pencucuk makanan serta boleh juga dijadikan tanaman hiasan yang menarik. tetapi hasil buluh madu yang paling penting adalah penghasilan rebung madu yang enak. Di Malaysia, permintaan rebung buluh di kalangan masyarakat Melayu sangat menggalakkan kerana ianya adalah makanan kesukaan ramai terutamanya dalam masakan tradisional melayu.  Menyedari hakikat itu, En Adnan Osman (51) melalui syarikatnya Tunas Budi Sdn Bhd telah berusaha mendapatkan tempat di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh, Pahang lebih 6 tahun lalu untuk projek penanaman buluh madu. Merupakan bekas kakitangan kerajaan di Perlis, beliau yang berasal dari Alor Setar Kedah, telah menyakin pihak pengurusan TKPM Lanchang bahawa tanaman buluh madu berpotensi untuk dimajukan memandangkan Malaysia mengimport 30 – 50 ton setahun produk rebung buluh dari negara seperti China dan Jepun.  Kini usaha yang telah dijalankan sejak tahun 2007 di kawasan seluas 17 hektar telah membuahkan hasil yang lumayan dengan pengeluaran sebanyak 12 ton sebulan dengan pendapatan melebihi RM 0.5 juta setahun. Antara produk buluh keluaran En Adnan melalui anak syarikat Tunas Budi Sdn Bhd iaitu Lanchang Edible Garden, yang dipasarkan di pasaran sekitar Kuantan, Temerloh dan juga Kuala Lumpur antaranya ialah rebung buluh segar (vaccum pack), acar rebung dan rebung jeruk (jeruk masam, jeruk bercili, jeruk 3 rasa dan kimci) selain buluh matang yang dibekalkan kepada syarikat swasta.  Menurut En Adnan, buluh madu mudah ditanam, ia hanya memerlukan kawasan yang mempunyai sumber pengairan yang baik, tetapi tidak terendam bagi mengelakkan terjejasnya pertumbuhan akar. Buluh madu merupakan tanaman yang lasak dan hanya perlu menanam sekali sahaja tanpa perlu penanaman semula. Pembajaan dilakukan setiap 6 bulan sekali menggunakan baja organik dan IMO yang beliau sediakan sendiri dari bahan-bahan dapur yang terbuang. Penanaman buluh juga tidak memerlukan sebarang penggunaan racun kerana pokok buluh tiada serangga perosak.  Buluh akan mula mengeluarkan hasil rebung selepas 8 bulan ditanam, bagaimana pun untuk mendapatkan produk untuk penghasilan kraftangan, perabut, bahan binaan, dan lain-lain produk memerlukan tempoh matang iaitu hingga mencapai usia 6 tahun.  Selain dijeruk, rebung buluh madu segar boleh digoreng dan paling digemari adalah masak lemak cili api rebung dengan udang segar, ayam atau daging salai. Selain daripada itu rebung juga boleh di buat kerepek dan juga tepung.  Menurut En Adnan lagi, tanaman buluh merupakan tanaman baru yang semakin mendapat sambutan dikalangan pengusaha dan pekebun-pekebun. Ia senang ditanam dan diselenggara selain dapat memberi hasil yang berterusan dan lumayan. Beliau juga sedia berkongsi ilmu dan pengalaman kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memulakan industri ini.  Kepada yang berminat sila layari : nanbamboo@yahoo.com Alamat : Tunas Budi Sdn Bhd Lot 8, Taman Pertanian Modern Lanchang, Temerloh Pahang Tel : H/P – 6014-294 9988 6016-493 5395 

No comments:

Post a Comment